Tiada kerja dilakukan syarikat kuari lepas waktu bekerja, hari cuti - Mohd Sany

hmetro.mutakhir2024101147250tiada kerja dilakukan syarikat kuari lepas waktu bekerja hari cuti mohd

Kuala Lumpur: Tidak ada kerja-kerja dilakukan oleh syarikat kuari semasa waktu cuti atau selepas bekerja seperti didakwa penduduk taman perumahan di Bandar Sunway Semenyih, kata Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Selain itu katanya, bunyi dikeluarkan oleh syarikat kuari berdekatan dengan taman perumahan diduduki oleh penduduk juga masih lagi dalam paras dibenarkan.

Menurutnya, perkara itu hasil semakan dibuat oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), selepas pihaknya mengutarakan aduan dibuat oleh penduduk.

"Kuari yang dikatakan itu tidak membuat kerja-kerja pada siang hari atau malam hari.

"Kalau (aduan yang) dikatakan berlaku letupan, mereka tidak buat letupan betul-betul berhampiran berdasarkan kita diberi taklimat (oleh JMG) tempoh hari," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas aduan penduduk taman perumahan di Bandar Sunway Semenyih mengenai kegiatan kuari semasa waktu cuti atau selepas bekerja, berlakunya keretakan rumah selain bunyi kerja yang dilakukan menganggu mereka.

Menyentuh mengenai dakwaan berlakunya keretakan rumah, Mohd Sany berkata, hasil semakan dibuat pihaknya kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan JMG mendapati, ia tidak ada kaitan dengan kerja-kerja dilakukan oleh syarikat kuari terbabit.

"Kita rujuk kepada MPKj sama ada ia ada kaitan. (Tetapi) retak ini bukan berpunca daripada kuari," katanya.

Sany turut memaklumkan, pihaknya akan mengaturkan satu perjumpaan dalam masa terdekat membabitkan JMG, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, MPKj, syarikat kuari dan penduduk bagi mendengar permasalahan dikemukakan dan mengatasi perkara yang dibangkitkan.

"Setakat ini aduan yang paling banyak diterima adalah mereka ini (syarikat kuari) bekerja selepas jam 5 petang dan waktu cuti," katanya.s

 

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input