Tanah runtuh Taman Melawati: Longkang tersumbat punca bencana, pemaju dan pemilik tanah diarah henti kerja pembinaan

Screenshot 2024 10 17 120507

AMPANG JAYA: Longkang tersumbat pada bahagian atas bukit di Jalan G2 Taman Melawati, di sini, dikenal pasti punca berlakunya kejadian tanah runtuh, pagi semalam.

Limpahan air dari longkang dipenuhi batu dan tanah menyebabkan berlakunya gelinciran tanah yang kemudian mencetus tanah runtuh ke Jalan E6 Taman Melawati.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata limpahan longkang yang tidak diselenggara itu juga bukanlah baharu berlaku semalam, sebaliknya sudah terjadi sejak beberapa hari lalu.

"Benar terdapatnya longkang tersumbat oleh batu dan tanah hingga menyebabkan berlakunya limpahan sejak beberapa hari lalu, namun semalam dijangkakan amat luar biasa disebabkan hujan lebat dalam tempoh yang panjang.

"Kawasan longkang di bahagian atas bukit masih lagi di bawah kawal selia pihak pemaju ataupun pemilik tanah dan pada masa ini, kita sudah mengeluarkan notis supaya mereka dapat melakukan penyelenggaraan dan mengemas kini tanah serta laluan di atas bukit," katanya selepas melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Serdang, Taman Melawati di sini, pagi tadi.

Amirudin berkata, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga sudah mengarahkan pemaju dan pemilik tanah untuk tidak melakukan sebarang kerja pengubahsuaian atau pembinaan sehingga laporan penuh siasatan dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berhubung kejadian tanah runtuh ini.

 

"Berdasarkan siasatan kita, tiada sebarang kerja pembangunan sedang dilaksanakan di atas bukit yang menyebabkan gelongsoran tanah.

"Bagaimanapun terdapatnya kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan oleh pemilik tanah yang membeli lot tanah dari pemaju dan perkara itu juga sedang disemak," katanya.

Kawasan atas bukit berkenaan dimiliki pemaju yang kemudian menjual puluhan lot tanah kepada pembeli yang berminat untuk mendirikan kediaman.

Amirudin berkata, beliau menerusi MPAJ juga sudah mengarahkan pemaju untuk menjalankan kerja penyelenggaraan terhadap longkang, laluan serta persekitaran atas bukit berkenaan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa kawasan itu turut menjadi tumpuan untuk penduduk sekitar melakukan aktiviti riadah serta joging dan kita menutup tempat ini untuk sementara waktu sehinggalah JMG dapat merumuskan bahawa kawasan ini benar-benar selamat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjangkakan semua penduduk yang mendiami tujuh daripada 20 unit kediaman di Jalan E6, boleh kembali ke kediaman mereka antara dua hingga tiga hari lagi.

"Kita jangkakan mereka akan kembali tidak lama lagi selepas keadaan di sini benar-benar disahkan selamat.

"Kita sudah memasang kanvas dan akan membina tembok penghadang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.

 

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input