AMPANG: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati bermula jam 10 pagi ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak terlibat memantau isu ini dengan segera sebelum membenarkan penduduk terjejas pulang ke kediaman masing-masing.
“Saya ingin maklumkan tanah -tanah yang berlaku gelungsuran ini adalah tanah hak milik swasta yang didaftarkan sejak sekian lama dan tidak ada sebarang pembangunan di lokasi gelungsuran.
“Tapi di atas tempat gelungsuran ada projek kemajuan yang sedang dibina dan selepas ini tebing dan sebagainya itu harus menjadi tanggungjawab kepada pemilik pemilik terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyantuni penduduk terjejas di pusat pemindahan sementara mangsa bencana Taman Melawati, di sini, hari ini.
Tambah Amirudin, limpahan air deras dari lereng bukit disebabkan keadaan longkang tersumbat oleh batu dan tanah yang bukan berlaku sejak semalam.
“Longkang yang tersumbat oleh batu dan tanah telah melimpah keluar, limpahan itu kita jangka bukan berlaku semalam. Semalam limpahan agak luar biasa dan panjang.
“Seluruh kawasan itu termasuk longkang, masih lagi di bawah selia pemaju atau pemilik tanah dan kita telah mengeluarkan notis sewajarnya kepada pihak terbabit supaya mereka dapat mengemas kini dan menyelenggara tanah dan juga laluan tersebut.
“Saya dimaklumkan kawasan itu juga dijadikan kawasan joging, jadi kita telah tutup lokasi ini buat sementara sehingga JMG mengesahkan tanah itu kukuh dan selamat,” jelas Menteri Besar lagi.
Sebanyak tujuh keluarga yang terdiri daripada 23 mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana di Jalan E5, Taman Melawati.
Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku pada jam 10.30 pagi dilaporkan berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi.
Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.