3,200 cerun dikenal pasti berisiko tanah runtuh - Ahmad Maslan

Screenshot 2024 10 17 110452

AMPANG JAYA: Sejumlah 3,200 cerun di semua Jalan Persekutuan di seluruh negara dikenal pasti sebagai lokasi berisiko untuk berlakunya tanah runtuh.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ia sebahagian daripada keseluruhan 27,000 cerun atau lereng bukit yang direkodkan kementeriannya di semua Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun menumpukan kepada pemantauan cerun-cerun berisiko di kawasan yang berhampiran dengan penempatan serta premis-premis milik kerajaan seperti sekolah, hospital dan sebagainya.

"Oleh itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BGB) beberapa hari lalu sebagai persediaan memberikan amaran awal.

"Dengan pengaktifan BGB ini juga, kita akan bekerja 24 jam untuk memberikan sistem amaran awal (EWS) sekiranya berlaku sebarang kejadian berkaitan bencana dan sebagainya, terutama tanah runtuh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau lokasi tanah runtuh Taman Melawati, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika melawat lokasi memaklumkan terdapat 114 'hot spot' dikenal pasti di sekitar daerah Ampang Jaya sebagai lokasi berisiko tinggi tanah runtuh, termasuk satu daripadanya membabitkan kawasan lereng bukit di Jalan E6 Taman Melawati yang terbabit kejadian itu semalam.

Beliau berkata, 114 lokasi itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 600 kawasan yang disenaraikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan tiga klasifikasi mengikut zon.

Mengula slanjut pengaktifan BGB itu, Ahmad berkata ia dilaksanakan atas arahan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara.

"Sekarang ini bulan monsun dan negara dikejutkan dengan kejadian semalam yang mana berlaku banjir kilat dan Kuala Lumpur hampir lumpuh beberapa jam (semalam).

"Segala jentera kita di Jabatan Kerja Raya (JKR) diketuai oleh setiap pegawai di setiap daerah iaitu Jurutera Daerah, yang akan mengaktifkan segala rangkaian berkaitan di daerah yang berkaitan.

"Jadi kami (KKR) ingin memberikan nasihat yang sewajarnya iaitu mereka yang berada berhampiran dengan cerun supaya sentiasa berwaspada," katanya.

 
 

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input