AMPANG: Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengemukakan laporan awal kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, esok.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, laporan itu turut mengandungi nasihat pakar teknikal serta cadangan pembaikan yang perlu dilakukan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC JKR) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Runtuh dibawah Pelan Induk Cerun Negara akan mengemukakan laporan awal seawal esok dan laporan khidmat nasihat pakar teknikal dan cadangan pembaikan kepada MPAJ,”katanya.
Tambah Ahmad Maslan, turut dicadangkan agar mesyuarat penyelarasan diadakan Jumaat ini membabitkan kedua agensi itu bersama pemilik tanah berkenaan.
“Memandangkan tanah runtuh pemilikan pemaju, dicadangkan MPAJ mengadakan libat urus untuk kaedah rawatan kekal.
“Saya cadangankan agar satu mesyuarat penyelarasan CKC JKR,MPAJ dan pihak pemaju pada Jumaat ini,” katanya lagi.
Selain CKC JKR dan MPAJ, Pelan Induk Cerun Negara itu jelas Ahmad Maslan akan melibatkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“KKR sentiasa komited memastikan aspek keselamatan cerun dijaga, itu sebab kita hadir melihat sendiri kita berharap tidak ada lagi kejadian seperti ini berlaku di sini.
“Itu sebab segala mesyuarat teknikal dan penyelarasan perlu diadakan segera,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di kawasan runtuhan di Taman Melawati di sini hari ini.