Kumpulan alam sekitar menimbulkan kebimbangan terhadap potensi kemusnahan tempat pendaratan penyu hijau di kawasan pantai hutan simpan kekal Segari Melintang di Manjung, Perak.
Ini selepas kerajaan negeri menyah warta sebahagian besar hutan simpan berkenaan pada tahun lepas - termasuk kira-kira 287 hektar hutan bukit pantai - yang didakwa bertujuan memberi laluan projek kuari pasir.
Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata pihaknya bimbang projek itu akan menghapuskan tempat pendaratan dan menyebabkan spesies terancam itu kehilangan tempat bersarang.
Dia berkata kebiasaannya terdapat 10-20 sarang penyu setiap tahun di sepanjang pantai antara Tanjung Baru (utara Segari Melintang) dan Tanjung Hantu (selatan Segari Melintang), yang berhadapan dengan Selat Melaka.
“Namun, berdasarkan maklumat yang dikumpul SAM (Sahabat Alam Malaysia) setakat ini daripada rakan-rakan di Jabatan Perikanan dan pemungut telur berlesen, hanya terdapat sekitar lima tempat bersarang ditemui antara Januari dan September.
“Dulu ada tiga sarang di Pasir Pandak dan dua di Teluk Cina. Terdapat juga tempat mendarat di Pantai Yat-Yat.
“Tetapi kini penyu tidak lagi mendarat di Pasir Panjang Segari (Sungai Puyu) dan Pantai Yat-Yat.
"Kami mengesyaki penyu itu terganggu dengan aktiviti perlombongan silika yang telah pun bermula di kawasan Tanjung Hantu,” kata Ismady pada sidang media yang diadakan di Segari, Perak hari iniu bersama wakil NGO yang membentuk gabungan Rakan Segari.
Mereka termasuklah, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia, Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak dan Kumpulan Komuniti Nelayan Jeti Sungai Gelam.
Ismady berkata Manjung satu-satunya kawasan di Perak yang menjadi tempat penyu bertelur dan membenarkan aktiviti melombong pasir di situ akan mengganggu populasi haiwan marin terancam itu.
'Pertimbang semula nyah warta hutan'
Jurucakap gabungan itu, Meor Razak Meor Abdul Rahman menggesa kerajaan Perak memikirkan semula sebahagian penyahgazetan kira-kira 548 hektar hutan simpan Segari Melintang, terutama di kawasan pantai.Walaupun langkah itu sah, Meor berkata kerajaan negeri perlu mempertimbangkan kesan keputusannya terhadap ekosistem dan mata pencarian nelayan di kawasan berkenaan.
Kawasan itu juga merupakan satu-satunya hutan bukit pantai yang masih wujud di sepanjang pantai Teluk Mengkudu di Pengkalan Baharu, Manjung yang mempunyai biodiversiti unik, tambahnya.
“Kami berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusannya untuk menyahwartakan hutan simpan khususnya kawasan ini (bahagian pantai).
“Mungkin tidak mengapa untuk menyahwartakan (hutan) di bahagian lain untuk tujuan komersial, tetapi kami sangat prihatin dengan bahagian pantai ini.
“Sebab kawasan pantai (terjejas) itu menjadi sarang penyu dan juga digunakan nelayan sebagai tempat berteduh ketika cuaca buruk.
"Semua ini akan musnah (oleh aktiviti perlombongan pasir terbabit),” katanya lagi.