KUALA LUMPUR – Sebilangan peniaga di Jalan Masjid India di sini menyifatkan insiden tanah jerlus kira-kira tiga minggu lalu yang mendapat liputan meluas secara tidak langsung meningkatkan jumlah pengunjung ke kawasan berkenaan.
Peniaga tudung, Nora Mohamad Nor, 49, berkata, meskipun perniagaan tidak serancak sebelum ini, namun kehadiran pengunjung setakat ini sudah memuaskan hatinya.
Menurutnya, insiden tanah jerlus itu membuatkan pengunjung ingin melihat kawasan berkenaan dengan lebih dekat dan kebanyakan yang datang akan bertanyakan mengenai lokasi kejadian tersebut.
“Sambil mereka tanya tentang lokasi tanah jerlus itu, adalah juga yang melihat barangan yang kami jual ini, nak kata kurang pembeli ia sudah jadi sejak lepas penularan Covid-19 lagi.
“Kita peniaga yakin pada rezeki, saya tidak salahkan tragedi yang berlaku namun sebagai peniaga sendiri perlu cari kaedah merancakkan jualan yang dibuat,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Mengulas mengenai keselamatan, Nora memaklumkan, pihaknya berpuas hati dengan kenyataan dibuat kerajaan tempatan yang menekankan kawasan tersebut selamat dikunjungi.
“Saya berniaga di sini sejak 1998, kejadian tanah mendap ada berlaku sebelum ini tapi yang jadi kali ini melibatkan nyawa orang.
“Ini semua adalah ketentuan, isu tanah jerlus atau tanah runtuh ada di mana-mana, saya percaya selagi tidak diarah tutup perniagaan, kawasan ini memang selamat dikunjungi,” ujarnya.
Sementara itu, pekerja kedai pakaian, Shahbudin Azhar, 43, berkata, jumlah pengunjung mula bertambah susulan penamatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India pada 31 Ogos lalu.
Katanya, keselamatan kawasan sekitar juga terjamin apabila pihak berkuasa tempatan dilihat memeriksa di setiap kawasan pejalan kaki itu.
“Kami peniaga tidak risau kerana yakin aktiviti di kawasan ini selamat untuk beroperasi malah id juga sudah disahkan oleh Datuk Bandar (Dato Seri Maimunah Mohd Sharif),” ujarnya.
Pada 23 Ogos lalu, wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.