4 amaran awal lubang benam, tanah runtuh di jalan raya

berita

SEMASA memandu, kebanyakan kita tidak terlalu memikirkan jalan di bawah roda sedang berputar. Bagaimanapun, permukaan rata itu lebih penting daripada yang anda mungkin sedar.

Dalam sesetengah kes, tanda amaran awal terlihat pada turapan jalan boleh membantu kita mengelakkan situasi berbahaya seperti lubang benam dan tanah runtuh yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Lubang benam terbentuk apabila kawasan diratakan sebelum ini runtuh, mendedahkan lubang berongga di bawah permukaan sebarang binaan. Ini bermakna ia adalah rongga terbentuk di dalam tanah akibat hakisan berterusan, selalunya disebabkan air.

Ia boleh terbentuk daripada lekukan kecil hingga lubang besar menelan seluruh bahagian jalan atau binaan lain. Sebaliknya, kejatuhan kuantiti batu dan tanah sangat besar akibat gelongsoran tebing atau cerun dikenali sebagai tanah runtuh yang membabitkan pergerakan batu, tanah atau serpihan menuruni cerun, selalunya dicetuskan hujan lebat, gempa bumi atau aktiviti manusia tidak terkawal.

Soalnya, apakah amaran awal terlihat pada turapan?

Pertama, retak pada permukaan jalan. Antara tanda awal kemungkinan akan berlakunya lubang benam atau tanah runtuh ialah kemunculan rekahan pada permukaan jalan.

Jika anda perasan keretakan muncul dan melebar dengan cepat, ini mungkin menunjukkan tanah di bawah turapan sedang bergeser atau terhakis.

Lihat ada lekukan, jalan seperti tenggelam

Kedua, lekukan di permukaan turapan. Jika anda dapati jalan kelihatan seperti tenggelam atau berlekuk, ini mungkin menunjukkan tanah di bawahnya terhakis dan terdapatnya rongga.

Lekukan kecil boleh berkembang menjadi lubang benam lebih besar jika tidak ditangani. Ia dapat dikenal pasti dan terlihat lebih jelas selepas hujan berhenti apabila air terkumpul di dalamnya pada permukaan jalan raya.

Ketiga, turapan membonjol atau bengkak. Kadangkala, permukaan jalan mungkin kelihatan seperti membonjol ke atas. Ini mungkin disebabkan tekanan daripada tanah beralih atau pengumpulan tekanan air di bawah tanah yang mungkin menunjukkan potensi tanah runtuh atau lubang benam.

Keempat, kerosakan jalan mengejut. Jika anda terjumpa bahagian jalan tiba-tiba pecah atau runtuh tanpa sebab jelas, ia boleh menjadi tanda amaran sesuatu sedang berlaku di bawah permukaan.

Justeru, menyedari potensi bahaya kepada pengguna jalan raya, apakah perlu dilakukan?

Boleh ancam keselamatan nyawa, kenderaan

Jika lubang benam atau tanah runtuh berlaku, akibatnya boleh menjadi serius dan bahkan mengancam nyawa. Jalan raya boleh runtuh tiba-tiba, menyebabkan kenderaan terjatuh ke dalam lubang besar atau hanyut.

Pengguna pula boleh cedera atau terbunuh, manakala kenderaan boleh rosak teruk. Walaupun lubang benam atau tanah runtuh tidak berlaku semasa kita memandu, jalan raya rosak boleh mengakibatkan kemalangan kerana pemandu hilang kawalan atau menukar arah untuk mengelakkan kawasan berbahaya.

Bagi kekal selamat, adalah penting bagi pihak terbabit dalam penyelenggaraan jalan kerap memeriksa turapan dan kawasan sekitar untuk mengenal pasti tanda amaran awal.

Teknologi lanjutan seperti radar penembusan tanah boleh digunakan untuk mengesan isu berpotensi sebelum menjadi serius. Bagi pengguna jalan raya terlihat tanda ini, perlulah melaporkan kepada pihak berkenaan bagi mengelakkan kemalangan. Sejurus menerima aduan, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh bertindak segera menyiasat dan mengambil langkah pencegahan.

Dengan sentiasa berwaspada dan memahami tanda kemungkinan lubang benam serta tanah runtuh, kita boleh bekerjasama memastikan jalan raya selamat untuk semua.

Penulis adalah Ketua Sustainable Asphalt Research Group (SARG), Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM))

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input