Menteri beri jaminan KL tetap selamat

Screenshot 2024 08 29 085806

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur tetap selamat, di sebalik kejadian tanah mendap yang berlaku mutakhir ini.

Pada masa sama, Zaliha mengingatkan penduduk untuk sentiasa berjaga, terutama mereka yang tinggal di kawasan sekitar berlakunya tanah mendap.

Jaminan itu selepas satu lagi kejadian mendapan tanah dikesan di Jalan Masjid India, kira-kira 50 meter dari insiden lubang benam yang berlaku Jumaat lalu.

Insiden itu menyebabkan seorang pelancong, Vijayaletchumy dari Kuppam, Andhra Pradesh, India terjatuh sedalam lapan meter dan hilang.

Usaha mencari dan menyelamat wanita berusia 48 tahun itu masuk hari keenam, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha membuat pemetaan bagi mengenal pasti “titik panas” tanah mendap serta isu-isu lain yang mungkin dianggap tidak selamat.

“Kita akan lakukannya dalam kadar segera,” katanya lagi kepada pemberita selepas memeriksa lubang benam di Jalan Permai, Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya jika moratorium akan dikenakan untuk pembangunan baru di Kuala Lumpur, Zaliha berkata semua projek baru di ibu kota akan dihentikan buat sementara sehingga DBKL menubuhkan pasukan petugas.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan peranan pasukan tersebut,

Namun, tiga hari lalu Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif berkata pasukan itu telah ditubuhkan untuk meneliti tahap keselamatan Kuala Lumpur.

Maimunah berkata pasukan itu dianggotai pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains, polis, bomba, Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Pertahanan Awam.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan sistem saliran di Kuala Lumpur sudah berusia lebih 30 tahun.

“Kita tahu kebanyakan pembangunan di Kuala Lumpur lebih dari 30 tahun usianya. Jadi, memang kita perlu buat ujian integriti  untuk semua sistem saliran sekitar Kuala Lumpur.

“Kita akan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium,  DBKL dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air,” katanya lagi. 

 

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input