Program Pengurusan Risiko Bencana Geologi Aliran Puing Berasaskan Komuniti (Community-Based Disaster Risk Management, CBDRM) Di Daerah Yan, Kedah telah diadakan di Dewan Dato’ Madi Pantai Murni, Yan Kedah.
Program ini adalah bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) dan Sambutan Hari Sedunia Pengurangan Risiko Bencana UNDRR 2022 yang bertemakan “Amaran Awal, Tindakan Awal Untuk Semua”. Program berimpak tinggi ini adalah lanjutan beberapa program pemerkasaan komuniti yang berasaskan sains dan teknologi termaju, serta kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, badan professional, ahli akademik, NGO, dan komuniti setempat.Program ini telah dihadiri lebih dari 150 orang peserta dari pelbagai agensi awam, swasta, NGO, dan komuniti setempat.
Penganjuran Program CBDRM YAN ini adalah manifestasi komitmen Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sepertimana hasrat YAB Perdana Menteri susulan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada 12 September 2022 yang menekankan pelaksanaan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti dan usaha memperkasakan peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana.
Program CBDRM ini dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama pintar antara Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan sokongan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah.
Turut diraikan adalah pelantikan Sekolah Angkat JMG kepada Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Yan dan Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, Yan, Kedah yang menjadi sekolah pertama yang menganggotai Sekolah Angkat JMG yang bakal diperluaskan ke seluruh negara. Turut berlangsung majlis pelancaran RAKAN JMG di mana penubuhannya bertujuan untuk menyumbang peranan dan sumbangan dalam pengukuhan tadbirurus pengurusan sumber geologi, memperkemaskan risiko komunikasi setempat dan selanjutkan menyokong pembangunan budaya berdaya daya tahan komuniti di peringkat setempat.
Program CBDRM YAN ini turut membabitkan Majlis menandatangani Buku Konsep Manual Sistem Amaran Bencana Geologi berteraskan komuniti berdaya tahan yang telah dibangunkan dengan maklum balas dan input penting Pusat Kawalan Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB Daerah.
Program CBDRM anjuran JMG bersama pelbagai rakan strategik (awam-swasta-akademia-NGO) boleh dijadikan penanda aras dan amalan terbaik dalam merekabentuk, membangun dan melaksanakan program pemerkasaan komuniti yang lebih berstruktur, komprehensif dan bersasar ke arah mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan pelbagai pihak menghadapi bahaya baru muncul, risiko sistemik dan bencana berganda hasil cetusan perubahan iklim, cuaca yang ekstrim, kadar urbanisasi, aktiviti antropogenik dan perubahan guna tanah.
Ayuh, kita memasyarakatkan agenda pengurangan risiko bencana (DRR) dan memperkukuhkan tahap daya tahan setempat.
PROGRAM PENGURANGAN RISIKO BENCANA BERASASKAN KOMUNITI BAGI BENCANA GEOLOGI ALIRAN PUING DI GUNUNG JERAI (CBDRM YAN)...
Posted by Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia - JMG on Saturday, 15 October 2022