KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER - Pegawai Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM), Dr. Rohaya binti Othman, telah menerima Luminary Award sempena Malaysia Inventor & Innovator Convention (MYIIC) 2025. Anugerah berprestij ini disampaikan bagi menghargai sumbangan cemerlang beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi mineral di peringkat kebangsaan.
Majlis anugerah yang penuh gilang-gemilang itu turut dihadiri oleh Datuk P. Geol Zamri Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Dr. Nazwin Ahmad, Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan Mineral. Bagi edisi tahun ini, sebanyak 61 calon telah disenarai pendek bagi dua kategori utama iaitu Luminary Award dan Meritorious Award. Hanya 5 penerima dipilih untuk menerima Luminary Award, manakala 7 penerima lain diumumkan sebagai pemenang Meritorious Award.
"JMG amat berbangga kerana Dr. Rohaya binti Othman, penyelidik dari Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) JMG, turut berada dalam kelompok pemenang Luminary Award ini. Pencapaian ini merupakan milestone penting dan buat julung kali agensi perkhidmatan awam mencapai pengiktirafan pada aras setinggi ini, membuktikan bahawa kepakaran penyelidik JMG berada pada tahap daya saing global dan memberi nilai tambah kepada ekosistem inovasi negara."