Tanah jerlus di Jalan Masjid India berpunca aktiviti manusia, cuaca dan hakisan - NRES

Screenshot 2024 09 09 083959

KUALA LUMPUR: Siasatan oleh pelbagai agensi terhadap kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di ibu kota ini, mendapati insiden itu berlaku akibat antropogenik (aktiviti manusia), cuaca dan hakisan lapisan tanah tambak bawah permukaan kawasan terjejas.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, satu laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan akan disediakan kumpulan Task Force Struktur Tanah Masjid India yang diterajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa tiga bulan.

"NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah membantu dalam siasatan bawah permukaan kawasan kejadian tanah jerlus di kawasan Jalan Masjid India yang membabitkan seorang wanita warga India.

 

"Siasatan JMG menggunakan peralatan Ground Penetration Radar (GPR) bagi mendapatkan gambaran strata geologi dan sistem utiliti bawah permukaan kawasan kejadian bagi tujuan proses pemulihan menyeluruh oleh pihak bertanggungjawab," menurut kenyataan itu, yang turut menyatakan bahawa Kuala Lumpur adalah selamat untuk dihuni.

Bagi perancangan masa panjang, NRES memberitahu pemantapan terhadap aspek pemantauan, penyelenggaraan, prosedur dan kaedah penyiasatan bawah permukaan meliputi struktur binaan bawah tanah, dapat mengenal pasti dan mengelak sebarang ancaman tanah jerlus dan lubang benam yang mungkin berlaku.

NRES berkata, JMG sedang menambah baik data bawah permukaan kawasan Lembah Klang yang meliputi 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Projek Pemetaan Geologi Sub-Permukaan Greater KL bagi melengkapkan maklumat sedia ada mengenai keadaan bawah permukaan Kuala Lumpur yang telah dijalankan di bawah projek 3DKL.

"Dari segi geologi, batuan dasar di Kuala Lumpur didasari sejumlah anggaran 30 peratus batu kapur dan 70 peratus terdiri daripada batuan granit serta batuan metasedimen iaitu Formasi Kenny Hill, Syis Hawthornden dan Syis Dinding.

"Manakala kawasan tanah jerlus adalah didasari batuan syis, filit dan kuarzit Formasi Kenny Hill," menurut NRES.

Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berkenaan tidak berhasil selepas sembilan hari dijalankan sebelum ia dihentikan sepenuhnya pada 31 Ogos lalu, selepas pihak berkuasa mengambil kira pelbagai faktor keselamatan terhadap pasukan operasi SAR. – BERNAMA

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input