Page 41 - Pelan Strategik JMG 2016-2020
P. 41
40 PELAN STRATEGIK JMG 2016-2020
VISI
Peneraju pembangunan mineral dan geosains
menjelang 2020
JMG merupakan agensi kerajaan yang mempunyai autoriti dan kepakaran bagi
menerajui penyiasatan, perkhidmatan dan penyelidikan dalam bidang mineral dan
geosains dalam negara. Ianya dilakukan melalui perolehan (acquisition), tafsiran
(interpretation), pengurusan (management) dan sebaran (dissemination) data dan
maklumat mineral dan geosains. Pengetahuan, data dan maklumat mineral dan
geosains boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah, membantu meningkatkan
kesejahteraan hidup masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan sosio-
ekonomi negara serta pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan risiko bencana.
JMG beriltizam untuk menjalankan eksplorasi mineral bagi meningkatkan inventori
mineral negara, menjalankan analisis profil komoditi mineral dan membuat
perancangan strategik bagi menangani cabaran semasa. JMG juga bertanggungjawab
memastikan aktiviti pengkuarian dan perlombongan dijalankan dengan teratur dan
selamat serta mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. JMG juga menjalankan
penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) dalam bidang mineral
untuk memajukan industri mineral negara.
JMG juga komited dalam penyiasatan dan perkhidmatan kepakaran geosains meliputi
bidang-bidang pemetaan geologi, sumber air tanah, geologi kejuruteraan, bencana
geologi, geologi alam sekitar, geologi marin, geofizik, penderiaan jauh, mineralogi,
petrologi dan bidang-bidang geosains lain.
Visi ini selaras dengan wawasan negara menjadi negara maju dan berpendapatan
tinggi menjelang 2020.