Khidmat Nasihat dan Kepakaran

Selain daripada menjalankan penguatkuasaan undang-undang serta pemantauan operasi perlombongan dan pengkuarian, Jabatan juga berperanan dalam memberikan khidmat nasihat dan kepakaran kepada Pihak Berkuasa Negeri, industri dan juga orang awam.

Peranan JMG diiktiraf sebagai antara jabatan teknikal penting di peringkat persekutuan dan juga negeri. Pihak Berkuasa Negeri kerap merujuk kepada Jabatan ini untuk ulasan dan penilaian ke atas permohonan-permohonan berkaitan tanah lombong, tapak kuari, perkara-perkara berkenaan mineral dan bahan batuan serta lain-lain aspek bagi mendapatkan pandangan dan perakuan teknikal sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Industri perlombongan dan pengkuarian di negara ini terus menunjukkan trend pembangunan yang baik serta menarik minat pelabur dalam meneroka dan membangunkan kawasan baru potensi mineral dan bahan batuan.

Jabatan sentiasa peka terhadap aspek hubungan sesama industri dan isu-isu semasa pengoperasian bagi memastikan aktiviti berkaitan perlombongan dan pengkuarian dilaksanakan secara mampan, selamat dan praktikal. Pelbagai siri dialog, seminar dan pameran telah diadakan bersama pihak industri bagi mewujudkan operasi lombong dan kuari yang lebih bertanggungjawab kepada masyarakat dan alam sekitar.