Pelesenan

Bagi operasi perlombongan, sebelum sebarang aktiviti pembangunan perlombongan boleh dimulakan, Pemegang Pajakan Melombong atau Lesen Melombong Tuan Punya
hendaklah mengemukakan dan mendapat kelulusan bagi suatu skim pengendalian melombong daripada Pengarah Galian melalui pengeluaran Surat Kelulusan Sekim Pengendalian Melombong (SKSPM) di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994.

Aktiviti pengkuarian di negeri-negeri adalah dikuatkuasa dan diselia di bawah Kaedah-Kaedah Kuari negeri masing-masing. Pada masa ini, di Semenanjung Malaysia hanya Negeri Kedah dan Melaka belum menguatkuasa Kaedah-Kaedah Kuari. Di Sabah, Kaedah-Kaedah Kuari telah diwartakan tetapi belum dikuatkuasa, manakala di Sarawak Kaedah-Kaedah Kuari belum diwartakan.

Selain operasi lombong dan kuari, pelesenan juga melibatkan aktiviti kilang-kilang dan syarikat-syarikat yang menjalankan urusan pembelian, pemprosesan, penyimpanan, penjualan dan pergerakan mineral. Semua aktiviti yang dinyatakan dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 dengan syarikat perlu
mendapatkan Lesen Mineral atau Lesen Memproses Mineral dan Lesen Mengangkut Mineral berdasarkan keperluan aktiviti atau urusniaga seperti yang dinyata dalam Peraturan berkenaan.

Bagi urusan pengeksportan mineral dan bahan batuan, JMG berperanan dalam mengeluarkan Surat Penilaian Teknikal (SPT) kepada Bahagian Mineral dan Geosains (BMG), Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) melalui e-BMG Permit. JMG merupakan antara agensi utama dalam memberikan ulasan bagi pertimbangan Kelulusan Permit Ekspot (AP) oleh KeTSA, memandangkan peranan langsung Jabatan dalam urusan berkaitan mineral dan bahan batuan.

JMG Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan Peperiksaan Pembedil Amali kepada calon yang telah lulus Peperiksaan Pembedil Teori.
Lesen pembedil hanya akan dikeluarkan kepada calon yang lulus kedua-dua peperiksaan sebagai pembedil berkelayakan dan dibenarkan menjalankan kerja peletupan.

JMG juga terlibat dalam mengeluarkan surat ulasan teknikal berkaitan permohonan Permit Membeli, Menyimpan dan Mengangkut Bahan Letupan kepada PDRM serta ulasan teknikal bagi permohonan kelulusan ‘cadangan peletupan batuan untuk projek-projek pembangunan’ kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Kerjasama antara JMG dan PDRM dalam mengawal pembelian dan penggunaan bahan letupan adalah sangat penting dan dapat dijalin dengan baik bagi menjamin tiada penggunaan bahan letupan secara tidak sah dan pada kuantiti yang sesuai sahaja, bagi menjaga keselamatan semua.