Kawalseliaan & Penguatkuasaan

Matlamat utama pemantauan dan kawalselia yang dijalankan di lombong dan kuari adalah untuk memastikan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dijalankan secara teratur, sistematik, mengikut amalan kejuruteraan terbaik serta mematuhi peruntukan perundangan dan peraturan sedia ada. Aspek keselamatan operasi perlombongan adalah tertakluk di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM 1994) dan Enakmen atau Ordinan Perlombongan Negeri manakala operasi kuari pula adalah tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Kuari Negeri.

Selain itu, beberapa peraturan di bawah APM 1994 juga telah diperkenal dan dikuatkuasakan bagi memastikan aspek-aspek kawalan ke atas operasi perlombongan dan mineral dilaksana secara lebih selamat, praktikal dan mampan.

Sehingga kini, terdapat tujuh (7) peraturan di bawah APM 1994 telah digubal dan dikuatkuasakan, iaitu :

  • Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Skim Pengendalian Melombong, Pelan dan Buku Rekod) 2007
  • Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Peletupan) 2013
  • Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Keselamatan Semasa Penjelajahan dan Perlombongan Permukaan) 2015
  • Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016
  • Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Effluen) 2016
  • Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Penyata Perangkaan) 2019; dan Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pengkompaunan Kesalahan) 2019

JMG telah mengeluarkan dua (2) Garis Panduan iaitu Permohonan Lesen di Bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 (JMG.GP.26) dan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Perlombongan Dan Pengkuarian Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). JMG.GP.26 adalah dokumen rujukan dan panduan kepada syarikat atau orang persendirian dalam memohon Lesen Mineral, Lesen Memproses Mineral dan Lesen Mengangkut Mineral yang dikeluarkan oleh JMG di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016. Manakala Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Perlombongan Dan Pengkuarian Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dokumen rujukan kepada Industri lombong dan kuari dalam mengawal pergerakan dan penjarakkan sosial dalam persekitaran kerja serta aktiviti yang dibolehkan dalam tempoh PKP. 

Operasi perlombongan dan pengkuarian seringkali dikaitkan dengan impak langsung kepada masalah alam sekitar. Isu-isu berkaitan keselamatan, gegaran, bunyi bising, pencemaran habuk dan air sering ditimbulkan oleh masyarakat sekitar dan pihak media. Pemantauan dan pemeriksaan secara berkala termasuk pensampelan bagi efluen dan habuk adalah antara aktiviti utama Unit Pembangunan Lombong Dan Kuari bagi memastikan operasi lombong dan kuari patuh kepada syarat-syarat dan had yang ditetapkan oleh Jabatan.