Industri NR-REE perlu diberi nafas baharu - Takiyuddin

 

9FD2C8E5 DE92 4C26 AD89 7F0964D683EF

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia perlu diberi nafas baharu dengan penghasilan produk-produk bernilai tinggi dan tidak hanya tertumpu kepada pengeksportan mineral secara mentah, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata harga REE dijangka meningkat melebihi 700 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang berikutan permintaan tinggi terhadap sektor pembuatan terutamanya bagi penghasilan teknologi terkini seperti kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.

"Seiring dengan perkembangan pesat teknologi, keperluan sumber NR-REE akan terus meningkat dan mendapat permintaan yang tinggi," katanya yang mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak menerusi aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam penghasilan produk mineral khususnya NR-REE.

Takiyuddin berkata berdasarkan penemuan sumber NR-REE yang bernilai tinggi, Malaysia mampu bersaing di peringkat global bagi menjadi pemain utama serantau dalam membekalkan sumber NR-REE.

Dalam teks ucapannya yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Rosli Isa sempena Simposium 2022: NR-REE di sini hari ini, Takiyuddin berkata sumber NR-REE dikenal pasti tersebar di sekitar Kelantan, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka. 

Pada masa ini, menurutnya China masih mendominasi pengeluaran sumber REE, dan berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat, bagi 2018 hingga 2021, anggaran pengeluaran sumber REE oleh negara itu adalah sekitar 120,000 tan metrik hingga 168,000 tan metrik setahun. 

Beliau berkata pengeluaran sumber REE pada masa ini di Malaysia hanya diperoleh daripada mineral monazite dan xenotime yang merupakan produk sampingan daripada perlombongan biijih timah, dan berdasarkan statisitik, pengeluaran sumber REE daripada produk sampingan itu hanya mencapai sekitar 21 tan metrik hingga 1,645 tan metrik sahaja.

Takiyuddin berkata industri NR-REE di Malaysia akan ditransformasi daripada pengeksportan mineral secara mentah kepada penumpuan terhadap pengeksportan produk separa siap di peringkat pertengahan atau produk akhir berasaskan mineral di peringkat hiliran.

"Usaha ini adalah penting dalam memastikan pembangunan industri NR-REE di Malaysia tidak terhenti di peringkat huluan sahaja. Sebaliknya diperluaskan lagi hingga menghasilkan satu ekosistem industri NR-REE yang lengkap yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara," katanya.

Takiyuddin berkata kementeriannya juga sudah menetapkan beberapa sasaran utama yang merangkumi penumpuan terhadap pembangunan keseluruhan rantaian nilai NR-REE khususnya bagi peringkat pertengahan dan hiliran untuk memastikan pembangunan industri berkenaan dapat dibangunkan secara holistik.

-- BERNAMA