POKOK SENA: Jabatan Penjara akan meneroka bidang baharu di bawah program pemulihan dalam komuniti (PDK) bagi membolehkan banduan bekerja dalam sektor perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang, berkata perkara itu selaras dengan perancangan kerajaan negeri Kedah untuk mengusahakan perlombongan REE.
"Kita sedang meneliti sama ada penempatan prospek (banduan PDK) boleh memberi sumbangan kepada sektor perlombongan ini nanti," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Negeri Kedah di Penjara Pokok Sena di sini.
Timbalan Komisioner Penjara Rahmat Abdul Rani dilantik sebagai Pengarah Penjara Negeri Kedah, menggantikan Komisioner Penjara Zainah Pardi yang dinaikkan pangkat bertugas di Bahagian Parol dan Komuniti, Jabatan Penjara Malaysia.
Ahmad Faudzi berkata, sebanyak 11 syarikat mendaftar untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara Kedah di bawah program PDK dengan 527 banduan yang dilepaskan menerusi Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bekerja di syarikat berkenaan.
"Ini satu perkara yang agak menarik kerana terdapat peningkatan syarikat-syarikat dari Kedah untuk bekerjasama dengan kita," katanya dengan 30,000 banduan di seluruh negara disasarkan bekerja dalam komuniti pada 2030, berbanding hanya 5,000 ketika ini.