Malaysia sasar dapatkan teknologi maju, pelaburan bagi proses REE - Rafizi

Screenshot 2024 11 29 085544

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan kemajuan pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) seiringan dengan sektor huluan dan hiliran bagi memenuhi keperluan industri itu, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata strategi kerajaan memastikan pembangunan serentak industri itu bagi membolehkan kalangan penggiat, termasuk syarikat antarabangsa melakukan persediaan serta merebut peluang yang ada di Malaysia.
Sejajar dengan usaha itu juga, katanya, kerajaan telah merancang untuk mewujudkan dua kemudahan kilang pemprosesan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
 
"Saya berharap rakan-rakan kita, terutama pelabur dari serata dunia, memahami bahawa inilah perancangan Malaysia. Ini kerana banyak pelaburan baharu, terutama di sekitar kilang pemprosesan atau lebih banyak industri hiliran seperti kilang bateri dan pengeluar, mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun untuk memberi hasil.
 
"Sebagai contoh, jika syarikat Jepun memahami rancangan nasional ini, kerajaan Persekutuan akan berusaha untuk melaksanakannya di peringkat kerajaan-kepada-kerajaan. Saya berharap maklumat ini akan bermanfaat untuk rancangan pelaburan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
 
Terdahulu, beliau berucap pada persidangan bertemakan "Accelerating Net-zero: Opportunities for Hard-to-abate Industries in ECER" anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Rafizi berkata Malaysia pada masa ini kekurangan kepakaran teknologi untuk memproses bahan mentah REE dan perlu menarik pelaburan dari negara-negara maju seperti Jepun bagi membangunkan keupayaan itu.
Beliau berkata dasar kerajaan mengharamkan eksport REE tidak diproses juga bertujuan memastikan negara ini mendapat hasil lebih tinggi daripada bahan mentah berkenaan.
 
"Namun, sepertimana yang kita tegaskan, cabaran utama adalah teknologi pemprosesan yang dikuasai oleh China," katanya.
 
Pada masa sama, beliau berkata cabaran di pihak kerajaan negeri yang berkemungkinan mahukan eksport REE dibenarkan semula jika kilang pemprosesan gagal dibangunkan dengan cepat berikutan kerajaan terbabit berharap pada royalti industri.
 
"Namun, kerajaan Persekutuan bimbang kebenaran eksport yang cepat itu sebaliknya boleh menyebabkan simpanan bahan mentah (REE) kita habis," katanya.
 
-- BERNAMA

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input