Artikel Pilihan
A- A A+

TAPAK GEOWARISAN NEGERI KEDAH KE 2

Tapak geowarisan ini merupakan geotapak kedua di tanah besar Kedah yang telah dirasmikan pada peringkat negeri sebagai Tapak Geowarisan Negeri Kedah pada 27 April 2015. Semenjak tapak ini dirasmikan sehingga November 2015 dianggarkan seramai 5 ribu orang telah mengunjungi kawasan Kg. Padang Nyior, Padang Sanai. Penduduk sekitar kini boleh berbangga  dengan penjenamaan baru - Perkampungan Geowarisan Debu Volkanik Padang Sanai. Perjalanan ke tapak ini mengambil masa lebih kurang 50 minit dari Bandaraya Alor Setar. Sistem perhubungan di kawasan ini adalah sangat baik dengan adanya laluan terus Alor Setar - Pokok Sena - Kuala Nerang ke Durian Burung.

SEJARAH KAJIAN

Kajian pemetaan awal telah dijalankan oleh Tuan Hj. Zainol Husin dan Tuan Hj. Mohamed Hatta Abd. Karim pada sekitar tahun 80-an mengesan sebaran debu volkanik di beberapa tempat di sekitar kawasan Padang Sanai. Kajian seterusnya adalah kajian mineral perindustrian yang telah dilakukan semasa RMKe 10 oleh En. Fathullah Abu Naim dan En. Hamdan Ariffin untuk kesesuaian mineral perindustrian. Kajian ini mengesan keluasan kawasan sebaran debu volkanik seluas 3km2. Ini menjadikan kawasan Padang Sanai sebagai kawasan sebaran terbesar debu volkanik di Semenanjung Malaysia setakat ini. Perbandingan kandungan kimia yang dibuat oleh pakar dari Malaysia menunjukkan kandungan debu volkanik ini adalah hasil letusan debu Gunung Berapi Danau Toba, Indonesia yang meletus sekitar 74,000 tahun yang lalu. Ketebalan endapan debu volkanik yang dikesan mencecah 1.2 m sehingga 3.5 m.

KERJASAMA JMG – PEMILIK INDIVIDU – UPEN KEDAH

Kawasan sebaran debu volkanik ini kebanyakannya  adalah tanah pemilikan individu. JMG KPP amat bertuah kerana telah mendapat keizinan pemilik tanah di Kg. Padang Nyior iaitu Tuan Hj. Abdul Halim bin Jusoh yang sudi berkongsi sebahagian kawasan kampung halamannya untuk masyarakat bersama-sama mengenali debu volkanik dengan lebih dekat lagi. UPEN Kedah telah membiayai papan tanda tunjuk arah yang diletakkan di bahu jalan utama dan juga panel informasi yang diletakkan di tapak debu volkanik di Kg Padang Nyior sebagai panduan tarikan pengunjung. JMG sentiasa berusaha untuk berkongsi dan menyalurkan maklumat kepada masyarakat supaya sama-sama menyedari akan kepentingan geologi dan nilai warisan yang terdapat di negara ini. Kerjasama erat ini diharap dapat memberikan sumbangan bermanfaat untuk kemajuan Padang Sanai pada masa hadapan.

KEGUNAAN DEBU VOLKANIK

Batuan debu volkanik ataupun tephra ini adalah ringan berbanding batu lumpur biasa dan orang kampung memanggilnya sebagai batu pong. Batuan ini boleh digunakan sebagai  penyerap minyak dan juga kegunaan industri pertanian. Kajian masih lagi dijalankan bersama pihak universiti untuk pelbagai lagi kegunaan lain.

SEJARAH GEOLOGI UNIK UNTUK DIPELIHARA

Pihak JMG dan penduduk Padang Sanai mengalu-alukan lawatan anda ke Perkampungan Geowarisan Debu Volkanik Padang Sanai untuk melihat dan menghayati kejadian alam yang menyimpan sebahagian sejarah geologi di kawasan Padang Sanai. Bersamalah kita menghargai dan memelihara tapak geowarisan negara untuk tatapan generasi akan datang.

1

2

Gambaran semasa kajian tapak Geowarisan dan persediaan Perasmian Tapak Geowarisan Debu Volkanik Padang Sanai sekitar April 2015.

1

Lawatan sambil belajar (lasbela) JMG bersama 80 orang para siswa & siswi serta pensyarah UMK pada 26 Nov. 2015 ke Kg. Padang Nyior untuk melihat dan belajar mengenai debu volkanik.

Senarai Perkhidmatan Online

Bancian

Hujan lebat boleh menjadi petanda awal berlakunya tanah runtuh.

Maklumat Perhubungan

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Menara Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Tel: (+603) 2161 1033
Faks: (+603) 2161 1036
Emel: info [at] jmg [dot] gov [dot] my

Sentiasa Berhubung

Facebook-iconTwitter-iconYoutube-iconBlogger-iconRSS-icon
Mobile-iconjmg mobile qr codemobile apps icon
isms
 

Kata Kunci Popular

Your browser doesn't support canvas.